MAYAT REPUT SAH WANITA MATI DIBUNUH
MAYAT REPUT SAH WANITA MATI DIBUNUH
Machang: Polis mengesahkan mayat reput yang ditemukan di kawasan hutan simpan Ulu Sat, di Kampung Chekar, di sini, Jumaat lalu adalah wanita yang dipercayai mati dibunuh.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ia berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang dijalankan Ahad lalu.
Katanya, hasil bedah siasat juga mendapati mayat wanita berkenaan ditemui tidak berpakaian dan mengalami patah tulang rusuk serta tumit.
Namun, katanya, kepala mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kita anggarkan mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu meninggal dunia sejak sebulan lalu dan tidak menolak kemungkinan mangsa mati di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi berkenaan.
“Pada awalnya, kita membuka kes berkenaan sebagai mati mengejut, namun selepas melihat hasil laporan bedah siasat, kes berkenaan ditukar kepada 302 Kanun Keseksaan.
“Kita juga percaya mayat mangsa berada di lokasi berkenaan dibawa oleh beberapa individu memandangkan perjalanan untuk sampai ke lokasi berkenaan dari laluan utama mengambil masa 45 minit dengan jalan yang agak teruk,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.
Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya belum mengenalpasti identiti wanita berkenaan dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis.
“Setakat ini, kita menerima satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Ketereh pada 16 Jun lalu berhubung kehilangan seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 20-an.
“Laporan itu dibuat oleh bapa saudara mangsa dan kita sudah menghantar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa yang hilang dengan mayat wanita berkenaan.
“Proses berkenaan dijangka mengambil masa sehingga dua minggu sebelum laporan keluar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, mayat reput dan berkecai dijumpai penduduk kampung berhampiran kebun di Bukit Yong, lapor HM online
Berdasarkan laporan, penduduk terhidu bau busuk ketika melalui jalan ke kebun berkenaan sebelum bertindak mencari punca bau itu lalu terjumpa mayat yang sudah reput dan berkecai jam 6.30 petang.