MAYAT REMAJA DITEMUI SELEPAS 41 JAM
MAYAT REMAJA DITEMUI SELEPAS 41 JAM
GUA MUSANG: Seorang remaja perempuan ditemui lemas, pagi tadi, kira-kira 41 jam selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Nenggiri, Kampung Pulau Setelu, dekat sini, petang kelmarin.
Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13, dijumpai terapung di tepi sungai itu kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mayat mangsa lengkap berpakaian itu dikesan oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira jam 9 pagi.
“Sepasukan anggota bomba kemudian membantu menaikkan mayat mangsa ke darat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM), di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, kegembiraan 20 sekeluarga berkelah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka hampir lemas dan seorang lagi hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Nenggiri.
Nur Jannatul Alia dilaporkan hilang, manakala kakak mangsa, Nur Ain, 16, bersama sepupu, Nur Asma Kamaruddin, 14, sempat diselamatkan, lapor BH Online.
Mengulas lanjut, Choon Foo memaklumkan, pasukan SAR turut menjalankan operasi selama sembilan jam untuk mencari mangsa, semalam, sebelum ia ditangguhkan pada jam 7 malam.
GAMBAR IHSAN JBPM
Beliau sekali gus menasihati orang ramai yang turun bermandi-manda di sungai pada musim kemarau sekarang supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan.
“Saya dimaklumkan bahawa kebanyakan sungai di daerah ini menjadi tumpuan penduduk untuk berkelah bersama keluarga kerana cuaca panas.
“Namun yang penting ialah berhati-hati, termasuk menjaga pergerakan anak dan jangan mandi di tempat berbahaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.