MAYAT PENCARI KETAM DITEMUKAN TERSANGKUT AKAR
MAYAT PENCARI KETAM DITEMUKAN TERSANGKUT AKAR
Iskandar Puteri: Misteri kehilangan seorang pencari ketam sejak Jumaat lalu terjawab apabila mayat lelaki berkenaan ditemukan tersangkut di akar pokok di Sungai Senapang, Kampung Melayu Dapur Arang di sini, pagi, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, mayat Zulkifli Amin, 56, ditemui pada 9.40 pagi.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin dan lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri.
“Mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira 550 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) iaitu pada hari ketiga operasi dijalankan.
“Mayat lelaki berkenaan ditemukan tersangkut di akar pokok dan anggota bomba berjaya mengeluarkannya dan dibawa ke Jeti Cekur Manis, Gelang Patah dengan bot.
“Operasi tamat pada 11.32 pagi hari ini dan mayat berkenaan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor HM online.
Semalam, Harian Metro melaporkan kehilangan seorang lelaki ketika mencari ketam di kawasan paya bakau di Kampung Melayu Dapur Arang di sini, sejak 21 Mei lalu.
Zulkifli yang berstatus bujang tinggal bersama anak saudaranya di Kampung Melayu Dapur Arang keluar rumah pada Jumaat lalu.
Operasi SAR dimulakan sejak kelmarin dan dibantu oleh Unit Anjiing Pengesan (K9) JBPM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit Selam Skuba JBPM.