Mayat pemancing yang dihanyut air deras di Loji Empangan Semantan ditemui
Foto atas : Mayat Amiruddin Asyraf Mat Saman ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari tempat kejadian pagi ini.
Mayat pemancing yang dihanyut air deras di Loji Empangan Semantan ditemui
BENTONG – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memancing di Loji Air Semantan, Lanchang, di sini dan dihanyutkan air deras Selasa lalu, ditemui lemas hari ini.
Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, bersama seorang rakannya pergi memancing di situ dipercayai gagal menyelamatkan diri dengan memanjat di sebuah batu besar di tengah sungai ketika tiba-tiba paras air loji naik mendadak dan mengalir deras.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 pada 10.28 pagi ini.
Menurutnya, seramai 55 anggota JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela serta orang awam turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini.
“Kita menemui mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian. Mayat dibawa keluar dari sungai terbabit untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.-SAHIH.