MAYAT MANGSA LEMAS TASIK KENYIR DITEMUI
MAYAT MANGSA LEMAS TASIK KENYIR DITEMUI
HULU TERENGGANU – Pencarian Ami Azzizol Abu Bakri,22, yang lemas di Sungai Petuang, Tasik Kenyir berakhir pada hari keempat apabila mayatnya ditemui hari ini.
Mayat pengantin baru itu dijumpai terapung pada pukul 7.10 pagi kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilihat tenggelam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat Ami Azzizol yang berasal dari Sungai Buaya, Dungun dijumpai seorang pengusaha rumah rakit.
“Dia kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa sebelum anggota Polis Gerakan Marin bergegas ke lokasi kejadian.
“Mayat mangsa yang terapung di permukaan tasik telah diangkat anggota bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan lelaki berasal dari Sungai Buaya, Dungun berkenaan dilaporkan lemas dipercayai akibat kekejangan otot ketika sedang mandi di dalam sungai tersebut yang terletak berhampiran sebuah rumah rakit disewa.
Terdahulu, Ami Azzizol yang baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Syarifah Ramli, 21, bercuti bulan madu di rumah rakit berkenaan bersama keluarga mentuanya.