MAYAT LELAKI HAMPIR REPUT DITEMUKAN TERAPUNG DI SUNGAI
MAYAT LELAKI HAMPIR REPUT DITEMUKAN TERAPUNG DI SUNGAI
Kuching: Mayat lelaki hampir reput ditemukan terapung di sungai tidak jauh dari sebuah kebun di kawasan perumahan Taman Lucy, di Kota Padawan, di sini, petang semalam.
Pemilik kebun yang terhidu bau busuk menemukan mayat berkenaan jam 3 petang sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, sepasukan forensik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) hadir di lokasi kejadian dan pemeriksaan fizikal mayat mengesahkan tiada kecederaan mencurigakan.
“Hanya terdapat kecederaan disebabkan gigitan serangga atau binatang. Identiti mangsa setakat ini masih tidak dapat disahkan, namun dipercayai seorang lelaki yang sudah berusia berdasarkan ketiadaan gigi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor KOSMO online.
Katanya, pihak polis memohon sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga untuk tampil melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.
“Untuk pertanyaan lanjut dan mengecam mayat mangsa juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Seli di talian 013-8467757.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat,” katanya kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan.