Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Sungai Kampung Paya Pasir
Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Sungai Kampung Paya Pasir
MARAN, – Seorang lelaki berusia 58 tahun ditemui lemas dalam keadaan terapung di kawasan pam pasir Sungai Kampung Paya Pasir, di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.38 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Maran yang diketuai PBK II Mohamad Fahruh bin Ahmad tiba di lokasi pada pukul 4.40 petang dan mendapati terdapat seorang mayat lelaki dewasa terapung di sungai. Mangsa dipercayai tersangkut di timbunan kayu berhampiran kawasan pam pasir yang berpasir jerlus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi mengangkat mayat menggunakan bot penyelamat aluminium BP-054 dijalankan oleh satu pasukan yang terdiri daripada seorang komander operasi, seorang penyelia, tiga anggota bomba dan seorang anggota polis.
“Pasukan operasi menghadapi kesukaran menurunkan bot ke dalam sungai disebabkan keadaan tanah yang jerlus.
Namun, mayat berjaya diangkat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.
Operasi turut dibantu oleh Komander Operasi Kanan, PPgB Hairysam bin Mat Tahar dan tamat sepenuhnya pada pukul 8.20 malam.
Identiti mangsa belum dikenal pasti secara rasmi, namun beliau dipercayai penduduk tempatan berbangsa Melayu.
JBPM Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika berada di kawasan sungai atau lokasi berisiko tinggi, khususnya semasa musim hujan dan air pasang.-SAHIH