MAYAT KEDUA NELAYAN HILANG DITEMUKAN TERAPUNG
MAYAT KEDUA NELAYAN HILANG DITEMUKAN TERAPUNG
KUALA TERENGGANU – Mayat kedua nelayan yang hilang sejak Rabu lepas ditemukan pada kedudukan kira-kira 20 batu nautika dari Pulau Kapas dekat Marang pada Sabtu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mayat Ja’afar Sulong, 66, ditemukan nelayan tempatan dalam keadaan terapung kira-kira 10 pagi tadi, semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke jeti Maritim Terengganu kira-kira 3.30 petang tadi oleh Kapal Maritim (KM) Nusa sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Rabu lepas, Ja’afar dan krunya, Baharudin Abdullah, 47, didapati tidak pulang selepas keluar menangkap ikan dan kedua-dua mereka gagal dihubungi.
Mayat Baharudin ditemukan nelayan tempatan pada Khamis lalu semasa operasi SAR dijalankan.
Muhammad Suffi berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan operasi SAR bagi mengesan seorang lagi nelayan, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang hilang dalam kejadian berasingan sejak Khamis lalu.
Katanya pencarian dijalankan menggunakan KM Nusa, pesawat AW139 dan dibantu oleh aset Jabatan Perikanan serta komuniti nelayan setempat.
“Pencarian tersebut dikoordinasikan Sub-Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan dengan sektor pencarian hari ini diperluaskan meliputi 492.72 batu nautika persegi iaitu meliputi kawasan perairan Kuala Terengganu sehingga ke Marang,” katanya, lapor Bernama.
Wan Mohd Sufian dikhuatiri hilang di laut selepas keluar menangkap ikan kira-kira 6.30 pagi Khamis lalu dan botnya ditemukan seorang nelayan pada jarak 10.1 batu nautika dari perairan Terengganu dalam keadaan enjin yang masih hidup.