MAYAT DITEMUI SELEPAS DUA HARI MENINGGAL DUNIA
MAYAT DITEMUI SELEPAS DUA HARI MENINGGAL DUNIA
KEMAMAN – Tanda tanya kehilangan seorang bekas kapten kapal sejak tiga hari lalu terjawab apabila dia ditemui sudah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Paya Berenjut di sini semalam.
Mayat lelaki warga emas berusia 63 tahun itu ditemui terbaring di bilik tidur rumahnya oleh anggota polis pada pukul 8.20 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, seorang sepupu lelaki mangsa yang risau apabila lelaki warga emas tersebut gagal dihubungi sejak Khamis lalu telah bertindak mengunjungi rumah mangsa semalam.
“Sebaik mengunjungi rumah mangsa, dia mengesyaki sesuatu tidak kena kerana bukan sahaja sahutan salam tidak berjawab malah juga menghidu bau busuk.
“Dia kemudiannya menghubungi pihak polis bagi meminta bantuan untuk memasuki rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini, lapor KOSMO online.
Hanyan berkata, pemeriksaan di dalam bilik tidur utama kemudiannya menemui mayat bekas kapten berkenaan.
Beliau berkata, pihak polis percaya mayat mangsa yang memiliki beberapa bot nelayan itu telah meninggal dunia lebih daripada dua hari.