Mayat dikhuatiri lemas di Jambatan Sri Damai, Sungai Belat ditemui
Mayat dikhuatiri lemas di Jambatan Sri Damai, Sungai Belat ditemui
KUANTAN – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 18 Disember lalu di jambatan Sri Damai, Sungai belat, Kuantan dijumpai tersangkut pada tebing sungai itu, kira-kira jam 8.10 malam, semalam.
Mayat Mohd Firdaus Supiardi, 28 tahun, ditemukan oleh pihak bomba kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir disyaki hilang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya sebelum itu dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh orang awam yang mendakwa ternampak mayat terapung daripada jambatan Sungai Belat pada 7.20 malam.
Susulan itu, 10 pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi dan membawa naik mayat mangsa dengan mengunakan satu bot fiber.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan selanjutnya.
Pada 18 Disember lalu, Mohd Firdaus dari Jaya Gading dilaporkan dihanyutkan arus deras di jambatan Sungai Belat di Kampung Sri Damai, Kuantan.-SAHIH