MAYAT BAYI BERSAMA NOTA
MAYAT BAYI BERSAMA NOTA
KUALA LUMPUR: “Saya nak minta jasa baik warga masjid untuk menguruskan jenazah bayi ini.
“Saya dibuang keluarga kerana anak ini. Saya tiada tempat tinggal yang sempurna dan tidak ada duit untuk membawa anak ini ke hospital.”
Demikian antara kandungan nota ditemui bersama mayat seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di dalam beg plastik di hadapan tembok pagar sebuah masjid di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.
Memetik laporan BH Online, beg plastik berisi mayat bayi itu dilaporkan ditemui imam masjid terbabit, berhampiran tayar kenderaannya yang diparkir di hadapan rumah ibadat berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata polis menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu pada jam 8.45 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati imam berusia 32 tahun itu menemui mayat bayi perempuan berkenaan di dalam bungkusan plastik.
“Ia berserta sehelai kertas dengan nota meminta bantuan pihak masjid menguruskan mayat bayi yang dianggarkan berusia empat bulan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ku Mashariman berkata, berdasarkan maklumat serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ruang hadapan masjid itu, polis berjaya mengesan dan menahan sepasang kekasih di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya, jam 2.45 pagi tadi.
Beliau berkata, pasangan tidak bekerja itu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan wanita warga Indonesia berumur 26 tahun.
“Ketika disoal siasat, kedua-dua individu terbabit mengaku meninggalkan mayat bayi perempuan mereka di hadapan masjid berkenaan.
“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 8 pagi esok bagi memastikan punca kematian.