MAX Awards iktiraf kecemerlangan industri agro makanan
MAX Awards iktiraf kecemerlangan industri agro makanan
SHAH ALAM – Penganjuran Madani Agro Excellence Awards 2025/2026 (The MAX Awards) menjadi platform penting dalam mengiktiraf kecemerlangan pemain industri agro makanan negara bagi memperkukuh keterjaminan makanan Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor pertanian perlu terus diperkasa sebagai industri strategik yang moden, berdaya tahan serta kompetitif di peringkat global.
Menurutnya, pengiktirafan kepada penerima anugerah bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya satu amanah untuk terus menjadi peneraju dan pemangkin kepada pembangunan sektor agro makanan negara.
“Ini sekali gus menjadi tunjang penting kepada keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Agro Excellence Awards (The MAX Awards) 2025/2026 di sini, semalam.
Beliau berkata, The MAX Awards dianjurkan sebagai platform nasional untuk menghargai inovasi, kepimpinan dan impak berterusan dalam rantaian nilai industri makanan negara, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan.
Tambahnya, sektor pertanian hari ini memerlukan pemodenan yang dinamik, kecekapan pengurusan serta keupayaan berdaya saing di peringkat global, khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan peningkatan kos pengeluaran.
Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus komited memperkukuh sektor berkenaan menerusi pemerkasaan teknologi, penglibatan golongan muda dan usahawan baharu serta kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Saya percaya dengan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih kukuh dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Pada majlis itu, ANGKASA menerima Anugerah Koperasi Terbaik Tahun 2025/2026 sebagai pengiktirafan terhadap tadbir urus cemerlang, kepimpinan institusi dan impak positif yang boleh diukur terhadap ahli koperasi di seluruh negara.
Anugerah berkenaan diterima Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Abdullah Jusoh yang mewakili organisasi itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajjah Aiman Athirah Sabu; Penasihat Umum The MAX Awards 2025/2026, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang serta Pengerusi Penganjur Bersama The MAX Awards, Encik Fazrul Nizam Osman.
Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah -SAHIH
