MAUT TERJATUH KATIL DUA TINGKAT
MAUT TERJATUH KATIL DUA TINGKAT
KUALA LUMPUR: Kehilangan anak bongsu dalam keadaan sungguh tragik cukup membekas kepada keluarga terutama buat ibu kepada tujuh cahaya mata yang juga baru saja kematian nenek beberapa hari sebelum itu.
Surirumah, Norashikin Juliar, 37 berkata kehilangan anak bongsunya kerana terjatuh dari tingkat tiga rumah yang mereka diami di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Kepong, meninggalkan kesan trauma mendalam hingga kini.
Pada 2 Mei lalu, bayi 11 bulan yang juga anak ketujuh kepada pasangan suami isteri, Norashikin Juliar dan Khairul Faizal Abdul Rahim masing-masing berusia 37 tahun itu, dikatakan terjatuh ketika bermain di katil dua tingkat yang diletakkan berhampiran tingkap rumah terbabit yang tidak berjeriji.
“Saya meninggalkan dia bermain dengan abang dan kakaknya tidak sampai 10 minit sementara saya berada di bilik lain untuk melipat pakaian.
“Saya sendiri masih kepenatan kerana baru kematian nenek empat hari sebelum itu manakala ibu pula meninggal dunia enam bulan sebelumnya,” katanya yang menerima kedatangan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau yang menyampaikan bantuan pemasangan jeriji rumahnya.
Norashikin yang baru sebulan berhenti kerja sebagai operator kilang, berkata anaknya itu sudah mula berjalan pada usia enam bulan dan sebelum kejadian sangat ceria malah mahu kepada sesiapa saja yang mahu mendukungnya.
“Sebenarnya saya sudah maklumkan kepada suami dan anak-anak untuk mengubah kedudukan katil kerana risau keselamatan anak berikutan tingkap tiada jeriji.
“Tidak sangka pula kegusaran itu benar-benar menjadi kenyataan, anak bongsu yang masih menyusu pergi dengan cara tragik,” katanya.
Sementara itu, jiran keluarga mangsa, Junaidah Shaari, 70, berkata pemasangan jeriji adalah bergantung kepada penyewa atau pemilik unit berikutan kosnya mencecah hampir RM2,000 bagi setiap kediaman.
“Memang sedar rumah yang tiada jeriji, keselamatannya agak membimbangkan tetapi buat masa ini memang ia terserah pada pemilik rumah walaupun sebelum kejadian bayi jatuh, ada juga orang bunuh diri.
“Saya sangat bersimpati dengan kejadian itu dan berharap mereka dapat reda kerana kehidupan tetap perlu diteruskan dan kejadian itu diharap memberi pengajaran kepada yang lain kerana boleh berulang jika penduduk mengabaikan keselamatan kediaman,” katanya yang sudah menetap di PPR itu selama empat tahun.
Tinjauan BH Online mendapati banyak unit daripada keseluruhan empat blok 19 tingkat PPR berkenaan tidak dipasang jeriji, di samping banyak cermin tingkap pecah terutama membabitkan kediaman yang tidak berpenghuni.
GAMBAR HIASAN
Kebanyakan pemiliknya adalah mereka yang terbabit dengan projek penempatan semula rumah panjang dan masih ada yang tidak berpindah masuk berikutan masalah kewangan lalu unit mereka itu menjadi sasaran vandalism,
Hasil pemerhatian, katil yang menjadi punca kanak-kanak terjatuh juga sudah dikeluarkan dari rumah terbabit kerana menurut keluarganya, ia hanya menambah kesedihan.