Maut, motosikal mangsa tercampak 100 meter depan kuil
Maut, motosikal mangsa tercampak 100 meter depan kuil
TEMERLOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang batu di Kilometer 8 Jalan Temerloh-Mentakab, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa, S. Ravichanthiran, 28, pengusaha perkhidmatan pengawal keselamatan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Marina Hashim berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Temerloh ke Mentakab.
“Apabila melalui laluan berselekoh motosikal itu terbabas dan melanggar penghadang batu di tengah jalan.
“Impak kuat itu menyebabkan mangsa tercampak, manakala motosikalnya ditemui di hadapan sebuah kuil kira-kira 100 meter dari tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Marina, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH