MAUT KETIKA BERSALIN
Berita Nasional/Jenayah
MAUT KETIKA BERSALIN
BATU GAJAH: Mayat wanita warga Indonesia dipercayai meninggal dunia semasa bersalin ditemukan bersama bayi lelaki yang masih bernyawa di sisinya, di sebuah pondok di Jalan Parit, Kampung Piandang, Pusing di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat Yanti Abas, 35, bersama seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemukan orang awam sebelum memaklumkannya kepada Balai Polis Pusing pada kira-kira 6.35 petang.
Katanya, semasa tiba di lokasi, polis menemukan mayat wanita itu yang ditutup menggunakan selimut dipercayai sudah lima jam meninggal dunia bersama bayi lelaki di sisinya dengan tali pusat serta uri yang telah dipotong.
“Pasukan forensik yang hadir di tempat kejadian tidak mengesan sebarang unsur jenayah di lokasi dan tubuh badan si mati. Dipercayai ada orang yang bersama si mati semasa dia bersalin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, polis tidak menjumpai saksi di lokasi untuk membantu siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh untuk bedah siasat esok bagi mengetahui punca kematian manakala bayi lelaki diserahkan kepada Hospital Batu Gajah bagi pemeriksaan lanjut.
Katanya, keputusan pemeriksaan saringan COVID-19 yang dijalankan ke atas mayat belum diperoleh dan polis memaklumkan kejadian itu kepada pihak kedutaan Indonesia serta Interpol bagi tujuan penghantaran pulang mayat ke negara asal.
Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan suami atau waris si mati, katanya.