MAUT KEMALANGAN SEMASA KE TEMPAT KERJA
MAUT KEMALANGAN SEMASA KE TEMPAT KERJA
BAGAN SERAI: Seorang pekerja kilang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang sedang masuk simpang di Kilometer 92.5, Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Selinsing di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Zuriatun May Yusoff, 28, dari Matang Gerdu di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun sedang menghala ke Taiping sebelum dia membelok masuk simpang kanan jalan.
“Tiba di tempat kejadian motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa dari arah Bagan Serai menghala ke tempat kerjanya di kilang Comfort Rubber Glove Matang itu tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu hadapan Perodua Viva yang sedang membelok ke kanan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor KOSMO! Online.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.