MAUT DISERANG TEBUAN
MAUT DISERANG TEBUAN
PADANG BESAR: Wanita warga emas maut dipercayai disengat tebuan tanah, ketika mencari rebung di hutan dekat Jalan Baru Semadong, Beseri, di sini hari ini.
Mangsa, Low Koi Lan, 61 dari Kampung Guar Jentik, Beseri tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari rebung kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas, berkata kira-kira jam 3 petang, dua anak saudara mangsa membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Beseri.
“Anak saudara mangsa juga sudah beberapa kali menghubungi mangsa namun tidak berjawab dan lapan anggota polis dari Balai Polis Beseri termasuk enam anggota Sukarelawan Polis dikerah ke lokasi.
“Setelah hampir empat jam pencarian dilakukan, akhir mayat mangsa ditemui di perdu pokok buluh di Jalan Baru Semadong dan pemeriksaan awal pada mayat mangsa mendapati terdapat kesan antara 40 hingga 50 sengatan tebuan tanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah pada jam 9.30 malam untuk proses bedah siasat, lapor BH ONLINE.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.