MAUT DIHEMPAP JENTERA PENGGELEK JALAN
MAUT DIHEMPAP JENTERA PENGGELEK JALAN
Julau: Pemandu jentera penggelek jalan maut selepas dihempap jentera berat yang dipandunya yang terbalik di Jalan Rumah Panjang Ulu Beletie, Pakan, di sini, hari ini.
Mangsa, Kung Teck Keong, 40, ditemui tertimbus di bawah jentera berkenaan yang terbalik di tepi jalan, dipercayai akibat hilang kawalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian itu berlaku pada 10.30 pagi.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya hanya menerima maklumat mengenainya pada 11.20 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor pula terpaksa menempuh perjalanan sejauh 62 kilometer melalui jalan ladang kelapa sawit yang berbukit dan keadaannya jalan kurang baik untuk ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar seorang lelaki dihempap jentera penggelek jalan, lapor HM online.
“Bomba memulakan operasi menggunakan cangkul untuk mengorek tanah di tepi badan mangsa untuk memudahkan kerja mengeluarkannya dijalankan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada 12.50 tengah hari dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Gambar: bomba