MAUT BERTEMBUNG LORI
MAUT BERTEMBUNG LORI
CHUKAI: Seorang penunggang maut selepas motosikal berkuasa tingginya bertembung dengan lori di Jalan Mak Lagam-Bandar Baru Cheneh, dekat Bukit Jemalang, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu mengorbankan Zoraimi Izan, 43, yang bertugas sebagai Juruaudio Visual Pejabat Penerangan Kemaman.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata kemalangan berlaku apabila motosikal hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori membawa kelapa sawit terbabit.
Katanya, rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan, manakala motosikal dan lori terbabit terbakar.
Beliau berkata, mangsa berkonvoi bersama enam lagi rakannya dari Kemaman menghala ke Kuantan.
KETUA Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan
“Mangsa yang tinggal di Chukai cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian.
Menurutnya , mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut, sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987,” katanya.