Mati selepas mengamuk, empat direman enam hari
Mati selepas mengamuk, empat direman enam hari
Maran: Tragedi berdarah di Felda Jengka 2 yang menyaksikan seorang lelaki maut selepas mengamuk dan mencederakan dua jiran, kini memasuki fasa siasatan apabila empat lelaki ditahan reman selama enam hari sehingga 12 April ini.
Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 49 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Maran pagi tadi dan perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Afidatul Azwa Kamarulanuar.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Reman diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk mengenal pasti peranan sebenar setiap suspek dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.
Insiden yang berlaku pada Ahad lalu itu mengejutkan penduduk setempat apabila mangsa berusia 57 tahun bertindak agresif dengan mencederakan dua jirannya menggunakan senjata tajam sebelum maut dipercayai dipukul orang jiran yang cuba menahannya.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada gangguan halusinasi akibat pengambilan dadah apabila mangsa sering dilihat bercakap seorang diri dan bercakap dengan haiwan seperti kucing sejak beberapa hari sebelum kejadian.
Sementara itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan saksi kejadian dan menunggu laporan penuh bedah siasat serta ujian toksikologi ke atas mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.-SAHIH