MATI LEPAS JATUH HUKUM
OKT MATI KENA SERANGAN JANTUNG SELEPAS DIJATUHKAN HUKUMAN
KOTA KINABALU – Seorang tertuduh yang dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu meninggal dunia akibat serangan jantung hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, tertuduh dikenali sebagai Hadirun, 42, sebelum itu didapati pengsan sebaik hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh hakim atas kesalahan narkotik.
GAMBAR HIASAN
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, polis mahkamah segera menghubungi pihak ambulans untuk tindakan segera.
“Kejadian berlaku selepas Orang Kena Tahan (OKT) itu mendengar hukuman dijatuhkan kepadanya dan kemudian masuk ke kandang pesalah sebelum rebah dan pengsan.
“OKT kemudian dibawa ke hospital namun meninggal dunia dalam perjalanan dipercayai akibat serangan jantung pada jam 12.06 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
George berkata lagi, kematian OKT diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat diserah kepada pihak hospital untuk dibedah siasat.
George berkata, OKT berasal dari Buton, Indonesia dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“OKT dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menagih dadah dan tiada dokumen diri yang sah,” katanya.
Sebelum itu, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara mulai dari tarikh OKT ditangkap dan diarahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas hukuman selesai untuk tujuan pengusiran.