MAT SABU SAMAN HARAKAH
MAT SABU SAMAN HARAKAH
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengemukakan saman terhadap kolumnis dan ketua pengarang Harakah berhubung dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah di laman web portal Harakahdaily, September lalu.
Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa kenyataan fitnah itu diterbitkan menerusi artikel bertajuk Husam: PAN Parti Diktator pada 14 September lalu yang menjatuhkan maruah dan mengaibkan dirinya.
Beliau yang bertindak selaku plaintif memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Amin Amirul & Partners pada 28 Oktober lalu dengan menamakan kolumnis, Roslan Shahir Mohd Shahir; Ketua Pengarang, Wan Nordin Wan Yaacob; dan syarikat penerbit akhbar Harakah Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Memetik laporan BH Online, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang diktator, menyalahgunakan jawatan dan kedudukan sebagai presiden parti serta hanya mengikut arahan dan telunjuk DAP.
Menurutnya, kata-kata fitnah itu ditulis oleh Roslan yang menjadi sumber kepada defendan kedua (Wan Nordin) untuk melapor dan membenarkan ia diterbitkan di laman web Harakahdaily.
Katanya, kata-kata fitnah itu hanya tuduhan melulu berniat jahat terhadapnya yang bertujuan menjatuhkan dan merendahkan maruah serta kredibiliti beliau yang memiliki imej dan integriti yang baik.
Sehubungan itu, Mohamad Sabu menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, satu perintah bagi mengarahkan defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan.
Kes saman itu ditetapkan bagi pengurusan kes pada 7 Januari depan.