Masyarakat terus ambil berat cegah wabak
Foto atas : Mohd Sany (duduk dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Masyarakat terus ambil berat cegah wabak
AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil berat dan mengekalkan langkah pencegahan wabah penyakit berjangkit walaupun menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sepanjang Syawal 1444H/2023M ini.
Beliau berkata, dalam situasi cuaca panas sekarang dan penularan kembali wabak Covid-19 masyarakat sepatutnya memandang serius perkara itu dan jangan sekali-kali bersikap enteng terhadap bahaya penyakit yang sudah ditempuhi beberapa tahun lalu.
“Masyarakat hendahlah mendengar serta mematuhi nasihat pihak berkenaan terutama supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tumpuan ramai orang serta tidak bersesak-sesak pada satu-satu masa.
“Apabila mengunjungi majlis jamuan rumah terbuka adilfitri atau kenduri perkahwinan dan sebagainya perlulah berhati-hati dan mengambil langkah selamat pencegahan demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) Semenyih, baru-baru ini.
Jelasnya, kita semua sudah melalui situasi susah dan sukar untuk bergerak berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 yang lalu dan keadaan itu hendaklah dicegah daripada berulang kembali.
“Perkara ini hendaklah menjadi iktibar yang berguna dan selalulah mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan diri terutama menjaga kebersihan tangan sebelum menjamah makanan dan sebagainya,” katanya.
Mohd Sany berkata, walaupun Ramadan sudah meninggalkan kita tetapi kita hendaklah terus mengekalkan semangatnya dengan terus mengamalkan amalan mulia bersedekah, mengeratkan hubungan silaturahim serta sering membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, amalan mulia itulah yang disemaikan sepanjang Ramadan lalu dan hendaklah menjadi amalan sepanjang kehidupan kerana di luar sana ramai mereka yang memerlukan sedikit perhatian daripada kita semua terutama untuk berkongsi rezeki.
“Dalam kemewahan kita nikmati ini di dalamnya ada rezeki yang perlu dikongsi dengan mereka yang tidak keberadaan atau susah bagi meneruskan kelangsungan hidup apabila serba kekurangan termasuk mereka berteduh di pusat jagaan,” ujarnya.-SAHIH.