MASYARAKAT SIKH DOA KESEJAHTERAAN AGONG
Berita Nasional
MASYARAKAT SIKH DOA KESEJAHTERAAN AGONG
BENTONG: Pelbagai kaum di negeri ini menunjukkan semangat perpaduan apabila turut sama mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan payung negara.
Masyarakat Sikh di negeri ini tidak terkecuali mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong melalui kepercayaan agama masing-masing.
Pegawai Khas Menteri Besar mewakili kaum Sikh, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, masyarakat Sikh berkumpul di Gudwara Sahib Bentong hari ini bagi mendoakan kesejahteraan Baginda.
“Kaum Sikh di negeri ini mendoakan kesejahteraan Yang di-PertuanAgong yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
“Kita berharap Yang di-Pertuan Agong cepat sembuh dan terus memayungi negara ke arah kesejahteraan masyarakat berbilang kaum,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Jasvir masyarakat Sikh di seluruh negeri akan terus mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong.
Kelmarin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasukkan ke Wad Diraja, Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memberitahu Seri Paduka yang berada di IJN sejak semalam kini dipantau oleh doktor dan berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan.