Masyarakat India sokong calon BN DUN Damak
Masyarakat India sokong calon BN DUN Damak
JERANTUT – Masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak berikrar memilih Barisan Nasional untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Ketua Pemuda MIC Jerantut, V. Thamil Selvan berkata, masyarakat India akan memilih calon Barisan Nasional (BN), Muhamad Fasal Jamlus berbanding parti lain di DUN Damak.
“Kita mahu BN kembali merampas kerusi DUN Damak agar nasib masyarakat India lebih terbela seperti sebelum ini.
“Saya harap pengundi kaum India keluar mengundi dan memilih calon BN kerana wakil rakyat sebelum ini lebih menjaga kebajikan kami,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, sebagai kaum minoriti dengan jumlah pengundi sekitar 1,800 orang sudah pasti masyarakat India memerlukan seorang wakil rakyat dari parti BN.
Sementara itu, Fasal memberitahu, beliau tidak menyangka masyarakat India memberi sambutan luar biasa terhadapnya ketika berkempen.
“Saya lihat mereka mahukan BN kembali menerajui DUN Damak dan saya perlu realisasikan hasrat mereka dan berharap kaum India memilih saya kali ini.
“Kita tidak akan pinggirkan mana-mana kaum kerana BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. – SAHIH.