Masyarakat bantu cegah kes bunuh diri
Masyarakat bantu cegah kes bunuh diri
JERANTUT – Anggota masyarakat perlu berperanan membantu dalam pencegahan membunuh diri agar angka membunuh diri negara dapat disifarkan.
Masyarakat sekiranya melihat tingkah laku yang luar biasa atau mengetahui terdapat kecenderungan pelaku untuk membunuh diri perlu bertindak segera sebagai pencegahan awal bagi menghindari kes bunuh diri berlaku di negara ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes membunuh diri dipercayai banyak berpunca isu psikososial dan persekitaran.
“Selain itu, mengalami isu kekeluargaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan bahan terlarang, “ katanya di Majlis Sambutan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi (ADTEC) Jerantut, hari ini.
Katanya, kes bunuh diri merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab ke-4 kematian bagi berumur antara 15 hingga 29 tahun berdasarkan laporan Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO).
“Kita perlu membantu individu yang dipercayai merangkumi idea membunuh diri (suicidal ideation),
rancangan bunuh diri (suicidal plan) dan cubaan membunuh diri (suicidal attempt) dengan membawa kepada
pihak berkaitan seperti konselor sekolah, daerah atau kepada pakar psikologi berdekatan.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan kerajaan telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan sindrom membunuh diri,” katanya.
Katanya, sejak berlaku pandemic Covid-19, pihak JKN menerima kehadiran orang ramai untuk mendapat khidmat nasihat daripada pegawai psikologi dan kaunseling terutama mereka yang terkesan dengan kehidupan akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Kes sebegini banyak diperbincangkan dan pintu pusat rawatan jabatan psikologi sentiasa terbuka untuk membantu,” katanya.-SAHIH.