MASJID KENA KOMPAUN RM10,000
MASJID KENA KOMPAUN RM10,000
PEKAN – Masjid Sri Maulana Taman Sri Maulana di sini dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 semalam kerana didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah, masjid berkenaan gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan, lapor KOSMO! Online.
Susulan itu tindakan kompaun dikeluarkan pada pukul 11 pagi semalam atas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata,
Pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di masjid dan surau negeri ini.
“Kita telah meminta penguatkuasa JAIP memastikan kod QR dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid,” katanya.
Beliau berkata, mungkin berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah atau oleh pengurusan hingga kompaun terpaksa dikeluarkan pihak berkuasa.