Masjid jadi pusat ekonomi ummah, ANGKASA tubuh koperasi di Jakarta
Masjid jadi pusat ekonomi ummah, ANGKASA tubuh koperasi di Jakarta
JAKARTA – Masjid bukan sekadar berperanan sebagai pusat ibadah, sebaliknya perlu dimartabatkan sebagai pusat ekonomi dan pembangunan ummah, seiring usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat setempat.
Sejajar dengan aspirasi itu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, merasmikan penubuhan Koperasi Kariah Masjid Raya At-Taqwa, Pisangan Baru, Jakarta Timur, semalam.
Majlis perasmian itu turut menjadi platform kepada delegasi ANGKASA untuk mengadakan lawatan kerja serta sesi perbincangan strategik bersama pengurusan masjid dan institusi zakat setempat.

Ketibaan delegasi ANGKASA disambut Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Masjid Raya At-Taqwa, Ustaz Ahmad Yani, bersama Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia, Yudhiarma MK, serta wakil Divisi Bank Zakat BAZNAS RI, Ustaz M Soleh.
Program berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi koperasi, masjid dan pengurusan zakat, selain meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan sosioekonomi ummah menerusi pendekatan koperasi dan zakat yang bersepadu.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah menegaskan bahawa masjid perlu kembali berperanan sebagai pusat kecemerlangan atau center of excellence seperti pada zaman Rasulullah SAW, bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah merangkumi bidang pendidikan, ekonomi serta penyelesaian permasalahan umat.

Beliau berkata, koperasi kariah masjid adalah instrumen penting bagi menghidupkan semula peranan itu, sekali gus memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat melalui aktiviti ekonomi dan kebajikan yang lebih tersusun.
Delegasi ANGKASA turut mengadakan lawatan sekitar Masjid Raya At-Taqwa bagi meninjau aspek pengurusan masjid serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan meliputi kebajikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi komuniti.
Lawatan itu turut disusuli dengan sesi pertukaran pandangan serta perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua pihak bagi memperkukuh pelaksanaan model koperasi kariah masjid.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada pengisian hari ketiga lawatan kerja delegasi ANGKASA ke Jakarta. Pada masa sama, delegasi turut menyampaikan sumbangan infaq kepada Masjid Raya At-Taqwa berjumlah USD3,000.
Lawatan dan perbincangan itu diakhiri dengan sesi perbincangan hala tuju kerjasama strategik pada masa hadapan di peringkat tempatan dan serantau, selaras dengan aspirasi ANGKASA, ACO dan ICA-AP untuk memperkasa gerakan koperasi serta meningkatkan kesejahteraan ummah.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.-SAHIH
