Masjid Jadi Pemacu Ekonomi Ummah – 618 Koperasi Kariah Masjid Telah Ditubuh
Masjid Jadi Pemacu Ekonomi Ummah – 618 Koperasi Kariah Masjid Telah Ditubuh
KUALA LUMPUR – Bermula dengan hanya 88 buah Koperasi Kariah Masjid (KKM) pada tahun 2011, kini sebanyak 618 buah koperasi berjaya ditubuhkan di seluruh negara dengan jumlah perolehan melebihi RM30 juta, hasil usaha gigih ANGKASA dalam memacu pembangunan ekonomi ummah.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, berkata inisiatif tersebut digerakkan melalui Sektor Pembangunan Komuniti dengan matlamat mengangkat masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi berteraskan Islam.
“Pada tahun 2011, jumlah perolehan KKM hanya RM2.3 juta. Hari ini, bukan sahaja kita telah mencapai lebih 600 koperasi, malah jumlah anggota telah mencecah hampir 48,000 orang dengan nilai aset keseluruhan sebanyak RM41.11 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian menjelang Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-39 (MAPA 2025) yang akan berlangsung pada 5 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Menurut Abdul Fattah, koperasi-koperasi tersebut menjalankan pelbagai bentuk perniagaan termasuk peruncitan menerusi Program BA100, serta aktiviti berkaitan pertanian, hartanah, pendidikan dan kebajikan.
“Inilah peranan sebenar masjid sebagai pusat komuniti Islam yang bukan hanya fokus kepada ibadah semata-mata, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Setakat 31 Disember 2024, negeri Selangor mencatat jumlah tertinggi KKM iaitu 74 buah, diikuti Johor (66), Perak (62), dan Kelantan (39). Bagaimanapun, jumlah itu masih rendah berbanding 6,850 buah masjid yang wujud di seluruh negara.
“ANGKASA akan terus memperluas penubuhan KKM kerana potensinya besar dalam menjana pendapatan umat Islam serta mengoptimumkan aset masjid demi manfaat bersama,” ujarnya.-SAHIH