Masjid di Bandung jadi pusat ekonomi komuniti
Masjid di Bandung jadi pusat ekonomi komuniti
BANDUNG: Lawatan rasmi ANGKASA ke Indonesia melabuhkan tirainya dengan penubuhan Koperasi Konsumen Berkah Bersama di Masjid Darul Rihlah pada 9 Februari lalu.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam memperjuangkan pembangunan ekonomi berteraskan kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.
Majlis pelancaran disempurnakan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP).
Ketibaan delegasi ANGKASA disambut pimpinan pelbagai peringkat termasuk wakil Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia, BAZNAS Kabupaten Bandung, pentadbiran daerah serta kepimpinan tempatan.
Ketua Koperasi Konsumen Berkah Bersama, Ustaz Agus Ruhyat, berkata penubuhan koperasi itu adalah ikhtiar meringankan beban kos sara hidup masyarakat setempat di samping membuka peluang ekonomi secara berterusan.
Menurutnya, koperasi berkenaan bukan sahaja menyediakan barangan keperluan pada harga berpatutan, malah menjadi platform mendidik anggota komuniti dalam aspek pengurusan, perniagaan dan kewangan.
“Model ini boleh menjadi inspirasi kepada masjid dan komuniti lain di Indonesia untuk menggabungkan elemen sosial, ekonomi dan pendidikan dalam satu ekosistem yang mampan,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan turut menjadikan kejayaan koperasi kariah masjid di Malaysia sebagai rujukan khususnya dari segi tadbir urus berintegriti dan penglibatan aktif kariah.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Abdul Fattah berkata koperasi konsumen yang diurus secara profesional mampu berperanan sebagai mekanisme perlindungan sosial dalam mendepani tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, masjid juga berpotensi menjadi pusat penyelesaian isu kemanusiaan dan sosioekonomi melalui inisiatif seperti koperasi, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan komuniti.
Lawatan itu turut disertai Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.-SAHIH
