Masjid dan Surau Jelai-Tanah Rata Terima Peruntukan RM250,000 untuk Ramadan
Masjid dan Surau Jelai-Tanah Rata Terima Peruntukan RM250,000 untuk Ramadan
LIPIS – Sebanyak RM250,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang untuk diagihkan kepada 18 masjid dan 64 surau di kawasan Jelai dan Tanah Rata bagi menghidupkan suasana Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setiap masjid menerima RM5,000, manakala surau memperoleh RM2,500 sebagai dana tambahan bagi program ibadah sepanjang bulan mulia ini.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan cek dan komputer riba kepada 38 penerima. Yayasan Pahang juga menghulurkan bantuan wang tunai RM300 kepada 556 individu, termasuk ibu tunggal, anak yatim, dan pesakit terlantar,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ahlan Ramadan 1446H/2025M Yayasan Pahang bagi kawasan Jelai dan Tanah Rata, di sini hari ini.
Menurutnya, pemberian ini selaras dengan tradisi di Pahang yang sentiasa memastikan masjid dan surau makmur serta membantu golongan memerlukan.
Selain bantuan Ramadan, majlis itu turut menyaksikan kerajaan negeri menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Projek Pembinaan Rumah Baiti Jannati bernilai RM100,000 setiap unit kepada tiga penduduk setempat.
“Secara keseluruhan, jumlah sumbangan sempena Ahlan Ramadan kali ini mencecah RM1.17 juta. Ia merangkumi peruntukan daripada kerajaan negeri, Yayasan Pahang, TNB, serta Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang menyalurkan Rumah Mesra Rakyat kepada 20 penerima,” katanya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar memanfaatkan Ramadan dengan amal ibadah dan mengelakkan perkara yang tidak berfaedah.-SAHIH