Masalah Air Bertahun Tamat, Tangki Baharu ‘Selamatkan’ Penduduk Felda Sg. Retang
Masalah Air Bertahun Tamat, Tangki Baharu ‘Selamatkan’ Penduduk Felda Sg. Retang
JERANTUT – “Kalau dulu musim raya air slow, sekarang buka paip terus ‘laju’!” Itu luahan penuh syukur penduduk Felda Sungai Retang selepas projek tangki simpanan air baharu mula beroperasi sepenuhnya baru-baru ini.
Selepas bertahun-tahun berdepan tekanan air rendah – termasuk terpaksa bergantung pada lori air sejak 2017 – lebih 3,500 penduduk dan 489 peneroka akhirnya boleh menarik nafas lega.
Projek naik taraf sistem bekalan air itu siap Disember lalu melibatkan pembinaan dua tangki utama dengan kapasiti keseluruhan 3 juta liter, rumah pam dan pemasangan paip sepanjang 5.8 kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Parlimen Jerantut, Harris Salleh berkata, projek berharga RM8.4 juta ini adalah hasil inisiatif pelbagai pihak termasuk mantan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah yang pernah mengetuai pembangunan Felda.
“Dulu kita cuba selesaikan sementara dengan pindah ‘inline pump’ ke loji pada 2020, tapi itu bukan penyelesaian jangka panjang. Projek ini dibawa ke FIC dan akhirnya dibiayai sepenuhnya oleh FIC Integrated Property Management,” katanya.
Harris turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang serta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas komitmen mereka dalam menyelesaikan isu air yang sudah lama membelenggu penduduk.
“Saya juda menghargai keprihatinan Menteri Besar, yang yang mendengar luahan isi hari rakyat negeri Pahang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni penduduk dalam Program Ziarah Kasih di Felda Sungai Retang,” katanya kepada media.
Kini, bukan saja tekanan air kembali stabil, malah kawasan tinggi juga tidak lagi mengalami gangguan.
“Sebelum raya pun dah rasa lain macam, air laju, tak semput-semput macam dulu,” kata penduduk tempatan, Muhammad Razali Burhanuddin sambil tersenyum.
Harris turut memaklumkan bahawa projek ini adalah antara pelan menyeluruh Kerajaan Negeri dan Felda untuk menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air di Pahang menjelang 2026.-SAHIH