Marhaizan hidupkan Jerantut dengan lukisan mural
Marhaizan hidupkan Jerantut dengan lukisan mural
JERANTUT – Bakat seni yang diasah sejak di bangku sekolah kini menjadi sumber rezeki dan wadah kreativiti bagi pelukis mural tempatan, Marhaizan Mahayudin, 46, dari Kampung Kaki Bukit, Damak.
Segalanya bermula ketika beliau di Sekolah Kebangsaan (SK) Damak, apabila minat melukis bertemakan alam sekitar mula dipupuk oleh guru yang mengajarnya teknik campuran warna.
Minat itu terus berkembang hingga ke alam remaja dan membuahkan kejayaan apabila beliau memperoleh gred ‘A’ dalam mata pelajaran Lukisan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas tamat persekolahan, Marhaizan beralih kepada seni mural bersama rakan pelukis jalanan di Pahang. Hasil karya mereka kini dapat dilihat menghiasi dinding premis kedai makan, pejabat kerajaan dan sekolah di sekitar Jerantut, Temerloh serta Lipis.
“Saya dilahirkan di daerah yang kaya dengan alam semula jadi, jadi saya mahu menjadikannya sumber ilham dalam setiap karya — bukan sekadar hiasan tetapi juga sebagai promosi seni, budaya dan pelancongan tempatan.
”Antara karya popularnya termasuk mural bertemakan Taman Negara Kuala Tahan, bunga Rafflesia di Sungai Rengat, Gunung Benum dan Lata Meraung. Selain itu, beliau turut menerima banyak tempahan daripada pengusaha kedai makan yang mahu menghiasi dinding dengan mural bertemakan makanan tempatan,” katanya.

Marhaizan pernah melukis mural seekor ayam gaya kartun untuk kedai Ayam Gepuk di Terminal Bas Jerantut, berkonsepkan animasi ayam yang memberi isyarat ‘bagus’ sambil memegang cili merah dengan tema “Pencinta Pedas Berani Cuba”. Lukisan ceria itu kini menjadi tarikan utama pelanggan kedai berkenaan.
Kini, Marhaizan sering menerima tempahan daripada sekolah, tadika, kafe, agensi kerajaan dan rumah persendirian di sekitar Jerantut, Bandar Pusat Jengka dan Lipis.
Isterinya, Norhidayu Idarni Hussin, 41, turut membantu menyiapkan mural yang lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima hari bergantung pada saiz dan kerumitan karya.
“Saya tidak terlalu mementingkan soal upah. Apa yang penting, karya ini mampu mendidik masyarakat tentang keindahan seni mural sebagai medium komunikasi kreatif,” katanya.
Bagi Marhaizan, kepuasan sebenar adalah apabila hasil seninya bukan sahaja memperindah persekitaran tetapi turut menjadi simbol identiti dan tarikan baharu daerah Jerantut. -SAHIH.
