MARAH KERANA KESILAPAN BULAN PUASA
MARAH KERANA KESILAPAN BULAN PUASA
PETALING JAYA – Satu video di laman Facebook memaparkan sepasang suami isteri memarahi pekerja restoran makanan segera kerana melakukan kesilapan ketika menyiapkan pesanan mereka tular, baru-baru ini.
Video yang berdurasi selama 55 saat itu mendapat perkongsian hampir 700 kali dan ratusan komen dari pengguna laman sosial tersebut yang majoritinya menyuarakan rasa kurang senang terhadap pasangan tersebut.
Rata-rata pengguna Facebook mahukan penjelasan daripada semua pihak tentang isu yang terjadi selepas melihat video tersebut.
Seorang lelaki yang dipercayai suami kepada wanita itu memarahi pekerja restoran dengan kata-kata yang kesat mendapat perhatian seorang penghantar makanan, Affiq Azizi yang ketika itu sedang mengambil pesanan pelanggannya.
“Cakap elok-elok abang. Saya tahu dia (pekerja restoran) silap, tapi abang tidak perlu marah dengan kata-kata kesat. Hormatlah orang lain. Mungkin sebab puasa, dia agak letih,” katanya kepada pelanggan lelaki itu.
Pelanggan lelaki yang sedar dengan tindakannya itu sempat meminta maaf sebelum seorang wanita yang dipercayai isterinya memasuki restoran tersebut secara tiba-tiba dan memarahi penghantar makanan itu kerana mempertahankan pekerja restoran tersebut.
Sepanjang video itu dirakam, wanita tersebut memarahi pekerja restoran dan meminta mereka (pihak restoran) untuk melihat televisyen litar tertutup (CCTV) dan melaporkan kepada pihak atasan supaya pihak atasan mereka dapat melihat hal sebenar yang terjadi.
Wanita itu turut berkata, jika sudah membuat salah, seeloknya minta maaf. Dia sedar ketika ini ramai yang sedang berpuasa, tetapi jangan disebabkan itu, pekerja boleh melakukan kesilapan.
“Walaupun awak pekerja baru di sini, sekiranya awak buat silap, minta maaflah. Orang lain juga berpuasa pada hari ini, bukan awak seorang saja,” marah wanita tersebut setelah pengurus restoran menjelaskan bahawa pekerja itu merupakan pekerja baru di sini, lapor KOSMO online.
Kerana rasa amarah terhadap penghantar makanan yang merakam videonya, wanita tersebut memanggilnya dengan perkataan bodoh dan menyifatkan orang yang berpuasa ini orang yang bodoh dan terus keluar setelah tangannya ditarik oleh suaminya sendiri.