“Mangsa Samun Ikat Tangan, Dipaksa Beri Kata Laluan Maybank2u”
“Mangsa Samun Ikat Tangan, Dipaksa Beri Kata Laluan Maybank2u”
MARAN – Seorang lelaki yang tinggal berseorangan di Felda Jengka 8, di sini, melalui detik cemas apabila diikat dan disamun oleh dua lelaki bertopeng yang memecah masuk ke rumahnya pada malam Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Mohamad Najib Ramli, 34, yang bekerja sebagai mandur ladang, dikatakan baru sahaja masuk ke dapur rumahnya untuk mengambil minuman sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, kedua-dua suspek yang bersenjatakan pisau dan objek keras yang dibalut kain bertindak agresif dengan mengugut untuk menikam mangsa sekiranya melawan.
“Mangsa diikat tangan menggunakan tali nilon dan kaki dengan tali pinggang sebelum suspek mengambil beg dompetnya yang mengandungi wang tunai RM1,000, kad ATM, barang kemas dianggarkan seberat 20 gram serta telefon bimbit berjenama .
“Suspek turut memaksa mangsa memberikan kata laluan akaun Maybank2u dan nombor PIN kad ATM sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga FLX milik mangsa berwarna coklat,” katanya.
Mangsa yang berjaya melepaskan diri kemudian menunggang motosikal ke sebuah kedai makan berhampiran untuk meminta bantuan orang kampung.
Kerugian keseluruhan dianggarkan hampir RM16,000 membabitkan barangan kemas, wang tunai, telefon bimbit dan kereta.
Polis berjaya menemui beberapa barang rampasan termasuk pisau jenama Kiwi, tali nilon, tali pinggang, sehelai baju dan sebatang puntung rokok di lokasi kejadian.
Bertindak pantas hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan beberapa suspek utama dalam tempoh kurang daripada 15 jam selepas kejadian berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan bersenjata.-SAHIH