Mangsa meninggal dihempap dinding konkrit kerap hantar video tanah perkuburan
Mangsa meninggal dihempap dinding konkrit kerap hantar video tanah perkuburan
JERANTUT : Sebelum seorang lelaki yang maut dihempap tembok dinding rumah kosong pada Rabu lalu di FELDA Kota Gelanggi Satu kerap membuat hantaran video tanah perkuburan FELDA Kota Gelanggi Satu.
Abang mangsa yang maut, Rostam Azam (49) berkata, selain hantaran video, soalan arwah Mohd Asri Azam tentang siapa ‘pergi dulu’ membuatkan dia tergamam, namun saya menganggapnya sebagai cara dia berseloroh dengannya.
“Saya tidak menjangka selain hataran video dan pertanyaannya itu sebagai satu tanda awal adiknya meninggal dunia.
“Sebelum itu, arwah adik ada datang melawat saya selepas keluar dari wad Hospital di Kelang kira-kira dua minggu lalu dan arwah turut ada menyatakan hasratnya memohon saya balik ke kampung (Felda Kota Gelanggi Satu) dengan segera,” katanya di rumah keluarga di sini, hari ini.
Rostam berkata, arwah ada juga memohon dia balik ke kampung dengan segera kerana mahu membincangkan sesuatu yang sangat penting kerana arwah tinggal berdua sahaja dengan emak di sini.
Sementara itu, kakak mangsa, Aniza Azam, 56, berkata, adiknya ada datang ke rumahnya di FELDA Jengka 25, dua hari sebelum sekolah dibuka untuk menghantar baju Melayu dan pakaian seragam sekolah cucu saudaranya.
Katanya, arwah kerap termenung dan tidak banyak berbual dan keesokan hari datang semula ke rumahnya dengan memandu kereta juga berkelakuan yang sama tetapi tidak meluahkan masalahnya kepadanya.
“Arwah merupakan seorang yang suka kepada keadaan yang bersih dan sanggup membersihkan kawasan rumah jirannya dan selain kawasan rumah sendiri , tetapi tidak menyangka arwah meninggal dunia dihempap dinding konkrit ketika melakukan kerja tersebut,” katanya.
Sementara itu, anak saudara arwah, Nurul Shahrizam Mohd Zainureen, 33, berkata, sejak kebelakangan ini arwah kerap menghantar video tanah perkuburan Felda Kota Gelanggi Satu kepada semua ahli keluarga.
“Saya antara penerima video tanah perkuburan Felda ini yang arwah kirim dan berasa agak pelik dengan tindakannya serta tidak menyangka hantaran berkenaan antara tanda dia akan meninggalkan kami dan ada menunjukkan kawasan tanah kubur baharu yang mungkin menjadi tempatnya.
“Tidak menjangka hantaran visual video itu sebagai tanda pakcik (arwah Mohd Azri) pergi meninggalkan kami di bulan Ramadan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis mengesahkan kejadian tersebut selepas menerima laporan pada Rabu , kira-kira jam 8 malam kelmarin
“Hasil siasatan, ke atas tubuh mangsa, tiada sebarang kecederaan atau kesan perbuatan khianat atau jenayah.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut, punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher dihempap dinding konkrit. Kematian itu diklasifikasikan mati mengejut (SDR),” katanya.- SAHIH.