Mangsa lemas ditemui terapung 2.5 KM dari lokasi kejadian
Mangsa lemas ditemui terapung 2.5 KM dari lokasi kejadian
KUANTAN – Lelaki dipercayai lemas ketika mandi-manda di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Tanah Puteh, Jalan Gambang, ditemui maut selepas lebih tiga jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, pada jam 9.10 malam hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 6:09 petang semalam, memaklumkan tentang kejadian seorang lelaki dewasa berusia dalam lingkungan 30-an yang disyaki lemas semasa beriadah di sungai tersebut.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 6:29 petang semalam, diikuti oleh pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan yang melaksanakan pencarian menggunakan teknik surface searching.
“Mangsa akhirnya ditemui terapung oleh orang kampung pada jam 9:10 malam, kira-kira 2.5 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB), di bawah sebatang pokok berhampiran sungai,” katanya.
Katanya, pasukan bomba bertindak membawa mayat ke darat menggunakan bot penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Komander Operasi, Mohd Rahimi Ab Shatar, menyatakan operasi turut melibatkan seramai 13 anggota, termasuk pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit LFRT.-SAHIH.