MANGSA LEMAS DITEMUI DEKAT POKOK ROTAN
MANGSA LEMAS BUKIT PUAS DIJUMPAI DEKAT POKOK ROTAN
JERANTUT: Mangsa lemas kedua Kampung Bukit Puas, Uqail Iskandar Zulkarnain berusia 23 tahun ditemui kira-kita 5 meter dari lokasi kejadian dipercayai dihanyutkan arus deras semasa cuba mengharungi air dengan berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di Kampung Gintong bersama bapa dan dua adiknya.
Mangsa pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hilang bersama bapanya yang turut lemas ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), manakala dua adiknya terselamat
Akmal Nur Hakim (29), berkata ketika berlegar dengan bot di kawasan kejadian ternampak objek terapung berdekatan pokok rotan kira-kira jam 8.30 pagi, hari ini.
“Saya merapati objek yang terapung itu dan melihat jasad arwah di bahagian kepala dan belakang tubuh yang hanya berseluar, saya memanggil rakan lain untuk membantu menarik mayat sebelum memaklumkan kepada pihak polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Adik mangsa yang terselamat, Usyair Iskandar Zulkarnain (13) ketika ditemui menceritakan berlaku kejadian berkata, semasa mereka mengharungi air terdengar abang sulungnya Uqail Iskandar, meminta tolong dalam keadaan yang begitu gelap tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mayat mangsa dibawa keluar dari tempat dijumpai ke Jerantut Feri menggunakan bot melalui Sungai Pahang pada jam 10.30 pagi dan dibawa ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat.
“Sebelum itu, bapa mangsa, Zulkarnain Hitam, 58, ditemui lemas kira-kira jam 10.30 malam hari Ahad lalu ketika cuba mengharungi di laluan yang dinaiki air di Kampung Bukit Puas untuk ke Kampung Gintong.
“Manakala dua orang anaknya, Umar Iskandar Zulkarnain (17 tahun) dan Usyair Iskandar Zulkarnain (13 tahun) yang turut serta bersama mengharungi air terselamat,”katanya
Mazlan berkata, operasi SAR turut disertai oleh anggota pasukan polis, bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tentera 7 ranjer Mentakab , pasukan penyelam bomba dan orang awam. Operasi dan penyelamat ditamatkan pada jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli melawat keluarga mangsa lemas Kampung Bukit Puas, di Unit Forensik, Hospital Jerantut, hari ini.