BELUM ADA PETUNJUK
OPERASI SAR KESAN MANGSA MASUK HARI KE-EMPAT
TEMERLOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang di Sungai Pahang, Loqman Hamka, 20, dari Kampung Kuala Kujan yang masuk hari ke-4 masih gagal menemui sebarang petunjuk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussin berkata, operasi hari bermula jam 8.00 pagi dan gerakan pencarian di permukaan sungai dijalankan pada jam 9.10 pagi.
“Empat anggota bomba melakukan drag and pull technique dengan menggunakan grappling iron di lokasi yang dikatakan mangsa dilihat kali terakhir dan hanya berjaya mengesan tali-tali rawai serta rangka-rangka yang disyaki besi kerangka sangkar ikan yang tenggelam di dasar sungai.
OPERASI SAR BAGI MENGESAN MANGSA DITERUSKAN DI SEPANJANG SUNGAI PAHANG OLEH JBPM PAHANG DAN PELBAGAI AGENSI BERKAITAN/IHSAN JBPM PAHANG
“Pencarian diteruskan hingga ke jambatan baharu Guai secara menghilir dan telah melakukan pencarian pada timbunan sampah sarap yang tersangkut di cerucuk besi jambatan baharu tersebut,”katanya.
Katanya, lokasi sangat berisiko untuk melakukan selaman berikutan air sungai yang keruh dan jarak penglihatan terhad di dalam air dan keadaan arus sungai yang sangat deras serta bahaya-bahaya di dasar sungai.
“Selain itu, kaedah gerakan olak ombak dari arah lokasi mangsa disyaki jatuh seterusnya pencarian diteruskan sehingga ke Jeti Chenor dan jarak pencarian hari ini dianggarkan 43 km radius dari lokasi terakhir mangsa dikhuatiri jatuh,” katanya.