MANGSA BANJIR MENINGKAT
4 PPS DIBUKA SEHINGGA PETANG TADI
IPOH: Seramai 252 mangsa daripada 92 keluarga ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di negeri ini, sehingga jam 5 petang.
Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, jumlah itu meningkat berbanding 246 daripada 90 keluarga pagi tadi.
“Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat kepada 148 mangsa membabitkan 62 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman di Bagan Serai.
“Ia sekali gus menjadikan daerah berkenaan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi banjir setakat ini,” katanya.
Menurut laporan BH Online, jumlah mangsa banjir di daerah Larut Matang dan Selama kekal seramai 89 mangsa daripada 25 keluarga di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim.
“Begitu juga dengan daerah Hilir Perak, jumlah mangsa kekal 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI),” katanya.