MANGSA BANJIR DI KELANTAN MENINGKAT
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 237 mangsa sehingga petang ini.
Kesemua mangsa banjir membabitkan 59 keluarga itu ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka sejak malam tadi sehingga petang ini.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 11 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Krai yang mencatatkan bilangan mangsa paling ramai diikuti Tanah Merah dan Pasir Mas.
Laporan Berita Harian, Kuala Krai yang mencatatkan 183 mangsa daripada 43 keluarga membabitkan tujuh PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak (36); SK Banggol Guchil (33); SK Bedal dan SK Chenulang masing-masing (31); Masjid Lama Keroh (28); Pejabat Veterinar (14) dan Balairaya Kg Mia (10).
Tanah Merah pula membabitkan 44 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Kelewek (20); Balairaya Padang Kijang dan SK Lawang masing-masing mencatatkan 12 mangsa.
Pasir Mas yang menjadi daerah terbaru dilanda banjir membabitkan PPS SK Kubang Kual yang menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.
Setakat jam 2 petang ini, keadaan hujan lebat di Kelantan masih berterusan dan dijangka lebih banyak PPS akan dibuka.