MALAYSIA TUNGGU MAKLUMAT RASMI ARAB SAUDI
Berita Nasional
MALAYSIA TUNGGU MAKLUMAT RASMI ARAB SAUDI
PUTRAJAYA: Malaysia akan mendapatkan maklumat rasmi dan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi sebelum sebarang keputusan membenarkan semula umat Islam negara ini.
Ia susulan keputusan kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan jemaah luar negara menunaikan umrah bermula 1 November ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata beliau akan mendapatkan maklum balas terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum membuat ketetapan sama ada boleh memberi kebenaran kepada umat Islam di negara ini menunaikan ibadah umrah.
Menurut beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya jemaah Malaysia diberi kebenaran menunaikan ibadah berkenaan.
“SOP ini penting bagi mengelakkan berlaku kluster baharu, selain mematuhi SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi seperti diadakan pada musim haji lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penipuan Umrah Bersama Agensi Pengelola Umrah di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ruslan Said.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kenyataan disiarkan Saudi Press Agency, membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah secara berperingkat-peringkat untuk sepanjang tahun, mulai 4 Oktober ini, selepas tujuh bulan kebenaran itu digantung berikutan pendemik COVID-19.
Sebagai permulaan kira-kira 6,000 warga dan penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan, manakala jemaah dari luar pula akan dibenarkan menunaikan umrah bermula 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari.
Zulkifli berkata, keputusan kebenaran menunaikan umrah itu bergantung kepada maklum balas daripada kerajaan Arab Saudi dan selepas itu barulah pengumuman dibuat kerajaan.
Katanya, kerajaan Arab Saudi sudah pasti akan mengehadkan jumlah jemaah, selain menetapkan SOP ketat bagi menangani pandemik berkenaan.