MALAYSIA TIDAK UBAH STATUS KAWALAN KANABIS
MALAYSIA TIDAK UBAH STATUS KAWALAN KANABIS
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan dadah berkaitan seperti yang tertakluk di bawah penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata ketegasan itu disuarakan kerajaan berikutan bahan terlarang berkenan jelas banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.
Mengulas lanjut beliau berkata, komitmen itu ditunjukkan kerajaan walaupun persidangan Semula Sesi Ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik yang diadakan di Vienna, bersetuju untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961.
“Kerajaan juga mensasarkan Dadah Terkawal 2025 sebagai perancangan jangka masa lima tahun akan datang seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara.
“Perancangan yang bersifat inklusif dan holistik ini bertujuan menggembleng usaha di antara sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil ke arah pembangunan masyarakat yang bebas dadah,” katanya dalam ucapan sempena hari Antidadah Kebangsaan 2021, di sini, malam ini, lapor BH Online.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan juga komited untuk terus membasmi masalah dadah di negara ini supaya terkawal dan dapat dibendung secara terancang.
Untuk itu katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang membangunkan Indeks Antidadah sebagai sebuah kaedah bagi mengukur keberkesanan dari segi penguatkuasaan.