MALAYSIA SEKAT KEMASUKAN DARI INDIA
MALAYSIA SEKAT KEMASUKAN DARI INDIA
KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan sekatan sementara kemasukan pengembara, pelajar antarabangsa warga India dan pelawat perniagaan antarabangsa ke Malaysia bagi mengelak penularan varian baharu COVID-19 dari India.
Tindakan sama turut dilakukan beberapa negara lain, termasuk Singapura, Hong Kong, Australia, Kanada, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Indonesia.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kemunculan varian baharu itu akan meningkatkan lagi risiko penularan lebih besar, jika orang ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Selain itu, katanya, situasi pandemik di India ketika ini adalah peringatan kepada rakyat di negara ini dan ia wajar diberikan perhatian serius.
GAMBAR HIASAN
“Kita mestilah berwaspada dengan penularan wabak ini terutama ketika berada di tempat tumpuan orang ramai seperti Bazar Ramadan dan Aidilfitri.
“Kita tahu kepatuhan rakyat terhadap SOP sangat baik cuma ada segelintir sahaja yang masih alpa. Sebelum ini sudah ada beberapa kes Bazar Ramadan ditutup kerana pengunjung tidak mematuhi SOP terutama berkaitan penjarakan fizikal.
“Saya sendiri menerima beberapa kiriman video dan gambar menunjukkan kegagalan pematuhan SOP di Bazar Ramadan, juga Bazar Aidilfitri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor BH Online.
Ismail Sabri berkata, penutupan sementara atau memendekkan waktu operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri tidak mustahil berlaku, sekiranya kegagalan pematuhan SOP terus berlaku.
“Kita mesti sentiasa berdisiplin dan jangan mengabaikan SOP, khususnya ketika berada di Bazar Ramadan mahu pun Bazar Aildifitri.
“Saya meminta rakyat bersama-sama meningkatkan tahap kawalan kendiri dan pematuhan SOP agar persediaan untuk menyambut hari raya Aidilfitri berjalan lancar,” katanya.