MALAYSIA PUTUS HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN KOREA UTARA
MALAYSIA PUTUS HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN KOREA UTARA
SEOUL: Korea Utara hari ini mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.
Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.
“Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan secara total,” menurut laporan agensi berita KCNA.
Menurutnya lagi, rakyat Korea Utara diekstradisi itu terbabit dalam aktiviti perdagangan yang ‘sah dari undang-undang’ di Singapura.
Pada 9 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram, lapor AFP.
Menurut peguamnya, lelaki itu menafikan dakwaan bahawa dirinya mengetuai sekumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan item dilarang ke Korea Utara dan terbabit pengubahan wang haram menerusi sejumlah syarikat.
Chol Myong, berumur lingkungan 50-an, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu.
Pertuduhan berkenaan berkait terutama dengan kerjanya di Singapura.