Malam Untukmu Gaza seru solidariti rakyat Malaysia
Malam Untukmu Gaza seru solidariti rakyat Malaysia
MARAN : Malam Untukmu Gaza, Kilauan Semantan Harapan Gaza yang berlangsung di sini malam tadi menyuntik semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis.
Majlis penuh simbolik itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Adun lantikan , Mohd Fadzli Mohd Ramly, dan turut menampilkan ikon kemanusiaan terkenal, Heliza dan Hazwani Helmi, yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi bantuan ke Gaza melalui pelayaran Sumud Nusantara Flotilla baru-baru ini.
Pengerusi Eksekutif penganjur program, Mohamad Hafizal Mahmood, berkata acara berkenaan diadakan bagi menyatukan masyarakat melalui sumbangan kecil yang mampu memberi impak besar kepada rakyat Palestin.
“Kita mungkin tidak mampu berjuang di medan perang, tetapi sumbangan dan sokongan moral adalah satu bentuk perjuangan juga,” katanya ketika berucap di majlis itu.
Beliau berkata, penganjuran malam amal itu turut memperkenalkan inisiatif baharu yang membolehkan orang ramai menyumbang kepada tabung bantuan Gaza melalui pelbagai platform ekonomi dan sosial.
Beliau berkata, sempena majlis berkenaan pihaknya turut memperkenalkan E-Gold Coin, syiling emas edisi khas yang dilancarkan sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan Palestin.

“Sebahagian hasil jualan daripada edisi khas ini akan disalurkan kepada tabung bantuan Gaza sebagai tanda keprihatinan masyarakat tempatan,” katanya
Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid legenda Raihan serta tazkirah oleh pendakwah terkenal Dato’ Maulana Helmi bersama Dr Sam, yang mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan penderitaan saudara Islam di bumi Gaza.
Selain itu, tetamu yang hadir turut menzahirkan sokongan melalui pelbagai bentuk sumbangan, sekali gus menjadikan program tersebut bukan sekadar hiburan rohani, tetapi wadah menyemai kesedaran kemanusiaan.
“Apa yang kita lakukan malam ini bukan hanya untuk menunjukkan simpati, tetapi tanda keprihatinan dan keazaman untuk terus membantu,” katanya.
Program berkenaan turut disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang komited menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza, termasuk Cinta Salam Malaysia, yang menjadi rakan pelaksana utama.
Semoga usaha kecil yang digerakkan melalui penganjuran ini menjadi sinar dan harapan buat rakyat Gaza, selain membuktikan bahawa suara kemanusiaan Malaysia tidak pernah terhenti untuk bumi bergolak itu.-SAHIH
