MAHKAMAH AS CUBA SELAMATKAN OBAMA
MAHKAMAH AGUNG US TOLAK HUJAH PENDAKWAAN DONALD TRUMP
WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS), semalam cenderung menolak hujah pentadbiran Donald Trump dan mengekalkan program penjagaan kesihatan bekas Presiden AS, Barack Obama, sekali gus menamatkan ancaman perlindungan insurans ke atas 20 juta individu ketika pandemik COVID-19.
Sekurang-kurangnya lima daripada sembilan hakim dilihat tidak menerima tuntutan hujah itu yang mendakwa, Akta Penjagaan Kesihatan Mampu Milik (ACA) tidak berperlembagaan kerana wujudnya persoalan berkaitan perundangan mengenai penalti pengguna.
Lima hakim itu termasuk Ketua Hakim, John Roberts dan Brett Kavanaugh, yang menyifatkan keputusan Kongres pada 2017 mengurangkan penalti individu kepada kosong dalam akta itu, menyebabkan ACA berkuatkuasa dan memiliki asas perundangan yang kukuh.
Walaupun sembilan hakim itu belum mendedahkan pandangan masing-masing sebelum keputusan dibuat, yang dijangka awal tahun hadapan, perbicaraan itu dilihat bakal menjadi kekalahan besar kepada Presiden AS, Donald Trump dan anggota Republikan lain yang mahu menamatkan program Demokrat itu.
Trump berikrar untuk menamatkan ACA atau Obamacare apabila dilantik menjadi Presiden AS menggantikan Obama empat tahun lalu.
Perbicaraan berbaur politik itu mengancam untuk mengakhiri usaha Obama memberi perlindungan insurans kesihatan kepada puluhan juta rakyat AS yang tidak mampu memiliki insurans.
Pendakwa raya Jabatan Kehakiman yang membantah ACA mendakwa mandat individu dalam akta itu, yang memperuntukkan denda jika tidak memiliki insurans, tidak sah dan menyebabkan keseluruhan undang-undang itu tidak berperlembagaan.
“Sukar untuk menghujahkan bahawa Kongres mahukan akta itu gugur jika mandat itu dipertikaikan, apabila Kongres sama yang mengurangkan penalti kepada kosong, tidak cuba menggugurkan keseluruhan akta itu,” kata Roberts yang dipetik AFP.
Kavanaugh turut bersetuju dengan pandangan itu, dan memaklumkan cara lebih baik adalah menggugurkan mandat itu daripada akta berkenaan.
Selain itu, walaupun empat hakim lain, termasuk Amy Coney Barett yang dilantik bulan lalu oleh Trump, menimbulkan persoalan mengenai akta itu.