MAKAM ENGKU KHATIB, DAYANG SITI KHATIJAH BRUNEI NYARIS MUSNAH
MAKAN ENGKU KHATIB, DAYANG SITI KHATIJAH BRUNEI NYARIS MUSNAH
JERANTUT : Dua pasang batu nisan makam lama nyaris musnah dihempap pohon sena yang berusia 145 tahun yang hanya terletak kira-kira lima meter dari pangkal pohon itu di tanah perkuburan lama di Bukit Hangus, Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini, baru-baru ini.
Pohon sebesar kira-kira 3 pemeluk itu tumbang ketika hujan lebat dan disusuli angin kencang pada 18 Oktober lalu disedari penduduk kampong keesukan harinya dan terkejut dengan kejadian pohon tersebut yang terbungkas sehingga pangkal akar tetapi tidak memusnahkan dua pasang batu nisan yang terletak bersebelahan.
Ahli Jawatankuasa Sejarah Malaysia Cawangan Pahang, Wan Johari Wan Mahmud (54) , berkata makan tersebut milik Engku Khatib Tun Abdullah adalah seorang penyebar syiar Islam dan juga pembesar di kawasan Ulu Tembeling yang dibernama Wan Endut dan kemudian diberi gelaran Engku Khatib Tun Abdullah.
“Allahyarham yang lahir pada tahun 1795 adalah dianggap ulama di kawasan sepanjang pesisir sungai Tembeling semasa hayatnya serta berperanan sebagai orang besar kawasan ini .
“Kemangkatan Engku Khatib pada tahun 1875, Almarhum Sultan Ahmad 1 menitahkan seorang Syed menanam pokok sena di makam Engku Khatib sebagai tanda makam seorang yang dihormati di kawasan ulu,” katanya.
Wan Johari yang juga seorang penyelaras dan pengumpul salasilah Keturunan Wan Berengku Pahang berkata, pohon sena turut ditanam di makam Almarhum Ketapi dan cucu cicitnya di Kampung Ketapi, Chebong dan masih ada sehingga sekarang.
Waris terdekat, Che Wan Ahmad Wan Hamzah, berkata sepasang nisan milik Engku Khatib, nisan setinggi kira-kira 60 sentimeter (sm) dan berdiameter kira-kira 20 sm pasti musnah terkena dahan besar pokok yang tumbang.
“Berlaku keajaiban kerana sepasang nisan lagi yang terletak bersebelahan adalah milik Siti Khatijah iaitu menantu Engku Khatib yang berasal dari Brunei yang berkahwin dengan Wan Ahmad Engku Khatib juga turut terselamat dalam kejadian ini.
“Nisan makam ulama itu yang dibaluti kain kuning masih tegak berdiri dicelah-celah dahan pokok sena yang tumbang… Kami bersyukur kerana Allah memelihara nisan berkenaan,” katanya.
Beliau juga berharap pihak berkaitan menaik taraf kawasan perkuburan itu sebagai tempat bersejarah seperti makan Pahlawan Melayu terkenal Pahang, Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar.
Penduduk Kampung Bantal, Japran Ali, 63 tahun berkata setelah mengetahui kejadian pohon sena tumbang di tanah perkuburan itu, dia dan beberapa orang penduduk pergi untuk melihat keadaan kejadian tersebut.
“Kalau ikut akal, pastinya dua pasang batu nisan itu akan musnah dihempap pohon besar tetapi kejadian itu berlaku sebaliknya dan kawasan berdekatan dalam “petak” makam itu turut terselamat seolah-olah tidak berlaku apa-apa selain tidak mengalami kecacatan pun.
“ Kami mengambil keputusan melakukan kerja gotong royong membersihkan tanah perkuburan dengan menggunakan empat gergaji berantai dan kerja pembersihan selesai hampir menjelang tengah hari,” katanya ketika ditemui di kawasan perkuburan itu semalam.