MUI BOIKOT PRODUK PERANCIS
MAJLIS ULAMA INDONESIA BOIKOT PRODUK PERANCIS
JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa orang amai memboikot produk Perancis sebagai timbal balas terhadap keengganan Presiden Emmanuel Macron memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan menghina Islam.
“(Kami menyeru untuk) boikot semua produk Perancis dan mendesak kerajaan Indonesia memberi tekanan serta memberi amaran tegas kepada kerajaan Perancis,” kata Timbalan Pengerusi MUI, KH Muhyiddin Junaidi seperti dilaporkan Agensi, semalam.
Junaidi juga meminta kerajaan Indonesia memanggil pulang Duta Indonesia ke Perancis sehingga Macron menarik balik kenyataannya serta memohon maaf kepada masyarakat Islam seluruh dunia susulan kenyataannya berbaur Islamofobia.
Beliau berkata masyarakat Islam tidak mahu mencari musuh, sebaliknya ingin mewujudkan persekitaran bersama dengan penganut agama lain dengan aman serta harmoni.
Selain itu, MUI mendesak Presiden Perancis dengan segera menghentikan sebarang tindakan yang menghina Nabi Muhammad.
Katanya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga berpendapat menghina Nabi Muhammad bukan kebebasan bersuara.
Menurut Junaidi, MUI menyokong pendirian diambil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memboikot produk Perancis.
“(Kami) menggesa Mahkamah Kesatuan Eropah untuk mengambil tindakan pantas dan menghukum Perancis kerana tindakan Presiden Emmanuel Macron yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia berkata pihaknya berharap kerajaan Indonesia akan segera memberi tindak balas serta menyatakan pendirian terhadap Presiden Perancis dengan memohonnya untuk meminta maaf kepada masyarakat Islam.
“Ini bagi menghindari polemik yang boleh menghancurkan perbezaan pegangan daripada berlarutan,” kata Ketua MER-C, Dr Sarbini Abdul Murad.
Beliau berkata MER-C kecewa dan mencela kenyataan tidak bertanggungjawab Macron yang boleh mengganggu gugat keharmonian dalam kalangan penganut yang berbeza pegangan di dunia ini.
Macron pada minggu lalu mempertahankan apa yang dikatakan sebagai hak bersuara susulan pembunuhan seorang guru Perancis kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan kontroversi kerana dianggap Islamofobia.
Abdullakh Anzorov, 18, yang membunuh Paty pada 16 Oktober lalu, kemudiannya ditembak mati oleh polis Perancis.
Anzorov bertindak demikian berikutan tersinggung dengan kartun ditunjukkan Paty kepada pelajar.
“Perancis tidak akan mengalah kerana kartun kami,” kata Marcon seperti dilaporkan BBC selepas kematian Paty.