Majlis Daerah Maran dapat RM317,000 untuk program bandar selamat
Foto atas: Datuk Seri Dr Ismail (2 dari kiri) menyerahkan replika cek RM317,000 untuk Program Bandar Selamat
Majlis Daerah Maran dapat RM317,000 untuk program bandar selamat
MARAN – Majlis Daerah Maran (MDM) berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM317,000 bagi melaksanakan Program Bandar Selamat bagi tahun 2022.
Program Bandar Selamat (PBS) bertujuan untuk mengurangkan jenayah dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat khususnya di bandar Maran dengan meliputi penyediaan komponen Crime Prevention Environmental Design (CPTED) yang diaplikasikan di tapak dengan mengambilkira isu berkaitan dengan keselamatan komuniti atau penduduk bandar Maran.
Timbalan Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata, selain itu, Inisiatif Pemutihan Kawasan Blackspot di bawah PBS diperkenalkan dengan fokus utama untuk mengurangkan kadar jenayah dan untuk meningkatkan persepsi rasa selamat di kalangan orang awam.
“Inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 2013 dan kawasan blackspot ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mendapat persetujuan pihak polis yang mana telah dibentangkan dan diperakui dalam Mesyuarat Majlis Penuh PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pasca Syawal Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Parlimen Maran dan Meraikan Bakal Haji 2022 di sini, hari ini.
Katanya, daripada laporan MDM, statistiks indeks jenayah di kawasan Maran bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021 telah mencatatkan beberapa kes jenayah seperti samun tanpa senjata, curi motokar dan pecah rumah.
“Justeru itu, beberapa langkah pencegahan perlu diambil bagi mengurangkan kadar jenayah seperti membina rel penghadang (Bollard) sepanjang laluan pejalan kaki sepanjang 250 meter, papan tanda keselamatan (4 unit), cermin keselamatan (5 unit) dan lampu Limpah (3 unit).
“PLANMalaysia KPKT merupakan penyelaras Program Bandar Selamat bersama-sama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Katanya, diharapkan agar inisiatif ini dapat meningkatkan tahap keselamatan penduduk di Maran ke arah mencapai objektif secara keseluruhannya dengan mewujudkan suasana yang selamat di kalangan komuniti setempat.-SAHIH.